Tiga pelacur asing diberkas imigresen ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah hotel di Jalan Zainal Abidin, Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN – Tiga pelacur asing yang sedang menunggu pelanggan dengan masing-masing memakai kostum anime tarian balet, jururawat serta gadis pejabat terkedu, selepas hotel didiami mereka di Jalan Zainal Abidin, di sini, diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang malam tadi.

Serbuan jam 9 malam itu turut menyaksikan seorang wanita warga Laos menangis teresak-esak meminta pihak berkuasa melepaskannya sebelum menawarkan suapan berjumlah RM16,000.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan sindiket pelacuran warga asing yang berselindung disebalik hotel.

Jelas beliau, hasil serbuan membawa kepada tangkapan tiga wanita asing berusia 25 hingga 29 tahun yang terdiri daripada warga Thailand, Laos serta Vietnam.

Nur Zulfa (tengah) bercakap dengan pemberita di lokasi serbuan.

“Semakan awal mendapati masing-masing mereka berada dalam negara ini sejak dua minggu lalu selain ada antara mereka sering keluar masuk negara atas alasan melancong.

“Siasatan lanjut mendapati masing-masing menawarkan perkhidmatan seks menerusi tempahan di website pada kadar RM240 bagi setiap satu sesi.

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini dijaga sindiket dan pelanggan pula, terdiri daripada golongan VIP (orang kenamaan) berdasarkan kadar bayaran yang dikenakan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mengulas lanjut Nur Zulfa turut memaklumkan, seorang daripada pelacur asing yang diberkas itu cuba memberi suapan berjumlah RM16,000 agar dirinya dibebaskan.

Wanita warga Laos cuba sogok imigresen RM16,000 supaya dirinya dilepaskan.

“Kita tidak menolak kemungkinan wang suapan yang ditawarkan itu merupakan hasil daripada kegiatan tidak bermoral yang dilakukan wanita tersebut sepanjang tempoh berada dalam negara ini.

“Kita turut merampas beberapa telefon bimbit, puluhan kondom termasuk yang telah digunakan, minyak pelincir, wang tunai, pil perancang dalam tiga bilik wanita tersebut.

“Kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambah beliau, JIM Pulau Pinang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang membabitkan warga asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast