KUALA LUMPUR – Semua pihak diseru untuk bekerjasama dan berinovasi dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi mencapai masa depan yang lebih lestari.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kepentingan kecekapan tenaga merupakan pemangkin peralihan tenaga negara.

“Dalam usaha menuju ke arah pembangunan mampan, kelestarian bekalan tenaga dan keselamatan merupakan aspek penting yang harus dijamin bagi kesejahteraan rakyat.

“Rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk memahami dan menghayati agenda peralihan tenaga yang bertujuan menangani cabaran Trilema Tenaga iaitu jaminan bekalan, kemampanan dan kebolehmampuan demi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan perasmian pelancaran Siri Pertama Pembelajaran Program Malaysia Energy Literacy Program (MELP) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB), baru-baru ini.

Program yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tenaga dan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS) selaku rakan strategik itu turut menarik lebih 250 peserta termasuk 100 pelajar universiti, pegawai kerajaan, agensi berkaitan serta para pemimpin industri.

Mereka membincangkan bagaimana amalan cekap tenaga bukan sahaja membantu mengurangkan kos tenaga, tetapi juga menyumbang kepada usaha global untuk mengekang perubahan iklim.

Masyarakat yang cekap tenaga dapat memainkan peranan besar dalam mengurangkan pelepasan karbon, seterusnya menyokong agenda kelestarian dan kesejahteraan alam sekitar.

Terdahulu, TNB berkata, masyarakat sedang dipupuk untuk menjadi pengguna cekap tenaga melalui program MELP agar sama-sama dapat berperanan dalam menjayakan peralihan tenaga dengan sasaran mencapai matlamat negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Program berterusan itu dijangka meningkatkan indeks celik tenaga sebanyak dua hingga tiga peratus setahun dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, pelanggan serta rakyat.

Ia sekaligus menyokong Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran 20 hingga 30 peritus penjimatan melalui amalan kecekapan tenaga dalam sektor domestik, industri dan komersil.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, dengan mendalami pengetahuan melalui program pendidikan seperti seminar tersebut, rakyat akan lebih menghargai peranan mereka dalam mempercepat peralihan negara ke arah neutral karbon.

“Generasi pewaris yang dididik dengan sikap progresif dan kesedaran terhadap kemajuan bukan sekadar pengguna elektrik, tetapi juga memahami impak kemampanan tenaga terhadap bumi dan kehidupan manusia,” ujarnya.

Beliau yakin generasi muda yang proaktif ini akan memainkan peranan penting dalam menerajui inovasi baru dalam tenaga, digitalisasi dan memajukan teknologi hijau untuk menyokong peralihan kepada tenaga bersih, menjaga bumi serta memastikan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Rata-rata peserta menunjukkan reaksi positif terhadap sesi forum dan perbincangan yang diadakan.

Mereka mengakui bahawa program sebegini memberi pendedahan mendalam dan membantu pengguna memahami peranan mereka dalam menguruskan tenaga.

Walaupun perubahan itu kelihatan kecil, keazaman dan perubahan sikap secara konsisten dalam penggunaan tenaga akan membawa manfaat yang besar kepada bumi dan seluruh isinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast