KUALA LUMPUR – Penggunaan ketum di negara ini perlu dikawal daripada segi penyalahgunaanya kerana memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria (khayal) yang boleh menyebabkan ketagihan seperti dadah.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkata, perkara itu disokong dengan data dan kajian dijalankan pihaknya bersama dua universiti melibatkan kajian penyalahgunaan daun ketum serta kesan sosioekonomi dan persekitaran ke atas penanaman ketum di Malaysia.
“Hasil dapatan kajian pada 2013 dan 2014 bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati, terdapat hubungan signifikan pengambilan air daun ketum dengan perubahan tingkah laku pelajar dan belia yang menjadikan mereka lebih agresif serta mengalami simptom ketagihan bagi menghilangkan tekanan.
“Dapatan kajian pada 2020 bersama Universiti Malaya (UM) pula terbukti wujudnya jangkaan negatif terhadap ketum dalam kalangan kumpulan petani dan orang awam, iaitu konteks sosial yang mengambil kira faktor kesihatan penyalahgunaan ketum.
“Pun begitu, dalam aspek ekonomi, ada antara mereka yang berkepentingan bersetuju menghalalkan penanaman ketum boleh menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah AADK lagi, walaupun dari satu sudut ketum mempunyai nilai perubatan, namun wujud kebimbangan mengenai kemudaratannya yang boleh mengakibatkan penyalahgunaan.
“Penyalahgunaan ketum akan menyebabkan gejala ketagihan menjadi punca kepada polemik berterusan khususnya penagihan dan penyalahgunaan bahan terlarang lain seperti dadah,” jelasnya.
AADK mengulas lanjut berhubung kenyataan daripada Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan artikal bertajuk ‘Pindaan Akta Penagih Dadah ‘mangsakan’ pengguna ketum’.
Ia menyatakan kebimbangan terhadap pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diluluskan. – MalaysiaGazette
















