Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di WTC Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan dana sejumlah RM6 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi merancakkan gerakan koperasi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang diselaraskan menerusi dana beberapa kementerian dan agensi melibatkan jumlah RM2 juta oleh Kemnenterian Perdagangan Dalam Negeri dan dan Kos Sara Hidup menerusi peruntukan Program Jualan Rahmah.

Menurut beliau, jumlah yang sama juga akan disalurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan melalui peruntukan Program Sejati Madani.

“Peruntukan baharu adalah sebanyak RM1 juta untuk program ASEAN Cooperative sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di mana Presiden ANGKASA adalah Pengerusi ASEAN Cooperative Organisation.

“Selain itu, peruntukan baharu RM500,000 masing-masing akan disalurkan kepada koperasi masjid di desa dan latihan meningkatkan kompetensi koperator juga di desa,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucapa pada Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan kerajaan secara prinsip bersetuju untuk meminda beberapa peruntukan undang-undang untuk menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan.

Perdana Menteri memberitahu, draf cadangan pindaan ke atas undang-undang itu sedang dipersiapkan Jabatan Peguam Negara, sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

“Soal undang-undang Menteri beritahu sudah ada kerangka awal dan dalam tempoh dua bulan akan datang apabila disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara, dibawa ke Jemaah Menteri untuk diluluskan.

“Saya percaya melihat prestasi mereka, itu boleh disegerakan,” katanya.

Syor pindaan kepada undang-undang itu antara resolusi dipersetujui Kongres Koperasi Kebangsaan 2024, dibangkitkan selepas terdapat beberapa akta sedia ada dilihat mengekang gerakan koperasi dalam menjalankan perniagaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast