Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegur rakan komponennya, Gerakan yang dilihat menyokong pendirian DAP mengenai sumbangan syarikat arak di sekolah-sekolah aliran Cina.

Menurutnya, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau sepatutnya perlu mendukungi mana-mana nilai baik yang telah dibuat atas dasar parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun mungkin kenyataan itu pandangan peribadi beliau (Dominic) tetapi sebagai presiden parti, ia boleh dianggap pendirian parti itu sendiri. Kita kena sedar isu ini bukan masalah kita (pembangkang).

“Tapi masalah kerajaan. Sepatutnya kerajaan selesaikan dan kita tegas dengan prinsip kita,” katanya memetik laporan HarakahDaily.

Dominic semalam mengeluarkan kenyataan bahawa sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan pusat untuk beroperasi.

Beliau berkata, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan saja daripada syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

Dominic mengulas berhubung kontroversi derma daripada syarikat arak kepada sekolah yang dibantah banyak pihak kerana didakwa mempromosikan amalan tidak baik dalam kalangan pelajar selain bercanggah dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di premis sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast