PUTRAJAYA – Kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi menambah baik fasiliti keselamatan di sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu adalah usaha kerajaan menangani pelbagai isu dan jenayah di sempadan negara.
Ia juga seiring dengan keputusan Malaysia dan Thailand untuk merancakkan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand.
Anwar berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada 3 Ogos ini bagi membincangkan isu keselamatan negara dan ekonomi dua wilayah itu.
“Untuk fasiliti ini, saya setuju luluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk sempadan Kedah, Kelantan, dan Perlis, katanya ketika merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Anwar juga mahu prosedur kerajaan bagi usaha ini dipermudah dan dilonggarkan.
Namun, beliau menegaskan agar pembelian aset-aset keselamatan mesti dibuat dengan cara yang lebih tersusun agar tatakelola dan tadbir urus perolehannya berintegriti serta menjimatkan kos kerajaan.
Perdana Menteri turut menegaskan, walaupun tugas dan tanggungjawab memelihara keselamatan dan kedaulatan menjadi peranan kerajaan tetapi penglibatan rakyat adalah kritikal.- MalaysiaGazette
















