Wanita antara tiga keldai akaun ditahan polis bagi membantu siasatan penipuan jenayah komersial membabitkan kerugian berjumlah RM307,816.

BALIK PULAU – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM307,816.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua mereka yang ditahan merupakan keldai akaun bagi kes penipuan jenayah komersial berasingan di sekitar negeri ini.

“Tangkapan membabitkan wanita berusia 38 tahun itu yang juga keldai akaun dibuat selepas kita terima laporan daripada mangsa di Balik Pulau di sini, yang mendakwa diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi ke akaun bank berbeza termasuk milik wanita itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM73,972.

“Kes kedua pula, melibatkan penahanan suspek lelaki berusia 32 tahun yang mana akaunnya digunakan sindiket untuk memperdayakan mangsa di Bayan Baru menyerahkan RM101,000 dengan menyamar sebagai pegawai polis melalui dalam talian,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut Kamarul berkata, bagi kes ketiga, pihaknya memberkas lelaki berusia 30 tahun selepas akaunnya digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa di Sungai Pinang di sini, dalam urusan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM132,844.45 .

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.

“Sehubungan itu, kita nasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette