Peniaga yang menjual durian mempamerkan tanda harga ketika operasi pemeriksaan pematuhan penjual durian dibawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN di sekitar premis di Kepong Baru. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Empat aduan berkaitan gerai menjual durian diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur sejak Mei hingga hari ini.

Pengarahnya, Mohd Sabri Seman berkata, antara aduan yang diterima membabitkan tiada tanda harga, iklan yang mengelirukan dan menjual durian secara atas talian.

“Bagi jumlah pemeriksaan Ops Duri yang dijalankan dari tempoh 2018 hingga 2024 pula, merekodkan sebanyak 37 pemeriksaan telah dilakukan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 14 gerai termasuk tiga hari ini telah diperiksa bagi tahun ini berkaitan pematuhan oleh penjual durian di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Ia termasuklah Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“Bagaimanapun sehingga kini, tiada kes direkodkan kerana kebanyakkan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ketua Unit Operasi KPDN KL, Mohd Fadli Che Mi memeriksa pematuhan penjual durian dibawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN di sekitar premis di Kepong Baru. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2024

Terdahulu, sepasukan anggota dan pegawai penguatkuasa KPDN KL melakukan pemeriksaan pematuhan penjual durian di tiga gerai di Jalan Bergas Tua di kawasan Kepong Baru, di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaaan yang dilakukan mendapati, kesemua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dengan meletakkan tanda harga serta menggunakan alat timbangan yang sah.

Tambah Mohd Sabri, sebanyak 57 kes direkodkan membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM16,400 bagi kesalahan berkaitan penandaan harga bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini.

“Untuk kesalahan berkaitan alat timbangan pula, sebanyak 64 kes direkodkan membabitkan kompaun berjumlah RM21,000 sepanjang tempoh sama.

“Selain itu, terdapat dua kes direkodkan masing-maisng membabitkan kesalahan perihal dagangan palsu serta iklan mengelirukan yang masih dalam siasatan pihak KPDN KL,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada KPDN sekiranya mengesyaki berlaku kesalahan seperti tiada tanda harga, penipuan timbangan, iklan atau promosi yang mengelirukan pengguna.

“Pengguna dinasihatikan supaya tidak terus mengambil langkah menularkannya di media sosial kerana ia akan menganggu proses siasatan aduan.

“Bagi peniaga pula, diingatkan supaya jangan mengambil kesempatan ke atas pelaggan walaupun perniagaan durian ini adalah bermusim dan jika didapati ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” ujarnya.

Ketua Unit Operasi KPDN KL, Mohd Fadli Che Mi memeriksa pematuhan penjual durian dibawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN di sekitar premis di Kepong Baru. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2024

Sementara itu, peniaga durian yang ditemui, Loiuse, 38 berkata, harga durian ketika ini bergantung kepada permintaan pelanggan dan juga bekalan.

“Musim durian tidak menentu, adakalanya bekalan banyak, kadang-kadang kurang itu yang beri kesan harga raja buah ini agak tinggi.

“Kebanyakan buah kita ambil dari kebun sendiri di Raub, Pahang tapi kalau stok kurang kita akan ambil dari Johor atau kalau bukan musim ambil dari Thailand.

“Kita akan cuba kawal harga durian ini tidak terlalu tinggi atau membebankan pelanggan kalau jual di atas talian dan ikut harga semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast