Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diseru supaya menerima pakai resolusi bagi membatalkan keahlian Israel daripada pertubuhan itu dengan serta merta.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Israel mesti dikenakan sekatan untuk memaksanya tunduk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa kehadiran mereka di wilayah Palestin yang diduduki adalah haram.

Tegasnya, Israel dituntut untuk menarik diri serta menarik balik  penempatan haram dan membayar pampasan di atas segala kemusnahan yang telah dilakukan.

“Kami mengalu-alukan pendirian kuat Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk melaksanakan kemungkinan campur tangan ketenteraan bagi memaksa Israel memuktamadkan perjanjian gencatan senjata kekal.

“Perang mulut tidak mencukupi kerana Israel meneruskan pencerobohan maut yang tidak berperikemanusiaan hampir 292 hari ke atas Gaza,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, Turki telah membuat keputusan yang tepat untuk menghentikan perdagangan dengan Israel berhubung akses bantuan Gaza.

Ujarnya, pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel adalah amat keji dan serangan yang dilakukan di Rafah adalah petanda bahawa tidak mungkin berlaku rundingan yang wajar dan dapat dimuktamadkan dengan Israel.

“Kami mengecam tindak balas Menteri Luar Israel, Katz bahawa presiden Turki itu “mengikut jejak” bekas diktator Iraq, Saddam Hussein,” katanya.

“Israel bermegah dengan sokongan Amerika Sysrikat yang tidak berbelah bahagi terhadap kekejamannya.

“Kami mengingatkan Israel bahawa pelebaran serangannya akan menjadi pembalikan operasi pemusnahnya yang berterusan.  Israel akan berhadapan dengan dunia jika ia berhasrat untuk menentang Turki.

“Israel kini berhadapan dengan hati nurani manusia di seluruh dunia. Suara hati nurani manusia akan diutamakan.

“ Israel perlu menghadapi realiti baru.  Realiti yang akan menamatkan kebiadabannya yang lahir pada tahun 1948 daripada gerakan zionis jahat sejak penubuhannya pada tahun 1897,” katanya. – MalaysiaGazette