Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang membaling batu dari jejantas di Jalan Imbi, di sini, yang mengakibatkan cermin sebuah kereta pecah, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nuzulan Mohd Din berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira pada jam 5 petang semalam.

“Kita ada terima satu laporan polis dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun media sosial Facebook bernama ‘Hui Min Chia’ menerusi hantarannya mendakwa cermin bahagian belakang kereta milik teman lelaki beliau pecah selepas dipercayai dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali dari jejantas sebuah stesen monorel di Jalan Imbi, ibu negara.

Wanita itu mendakwa, kejadian berlaku antara jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari ketika dia dan teman lelakinya yang menaiki kereta Honda Insight melalui laluan itu dan terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian belakang kenderaan. 

Wanita itu berkata, dia bernasib baik kerana tiada penumpang duduk di bahagian tempat duduk belakang dalam kenderaan mereka semasa insiden itu berlaku. – MalaysiaGazette