Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang gelandangan yang ditahan sebagai suspek dalam kes insiden membaling batu dari jejantas stesen monorel mengakibatkan cermin kereta pecah di Jalan Imbi ibu negara kelmarin, direman tiga hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nuzulan Mohd Din berkata, suspek lelaki tempatan berusia 55 tahun itu direman bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut.

“Pagi tadi kami (polis) berjaya mendapatkan perintah reman bertempoh selama tiga hari bermula hari ini sehingga 6 Ogos depan ke atas suspek untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih berjalan dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya mengenai status kesihatan mental suspek, Nuzulan memberitahu, lelaki berkenaan berada dalam keadaan normal.

“Kesihatan suspek normal, bagaimanapun suspek akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan lanjut untuk mendapatkan laporan perubatan lengkap mengenai kesihatannya,” katanya lagi.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kerosakan kepada harta benda.

Jika disabitkan kesalahan boleh dedenda atau dihukum penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali.

Semalam Nuzulan mengesahkan seorang lelaki tempatan ditahan jam 5.30 petang berhampiran kawasan stesen Monorel Jalan Imbi.

Katanya, penahanan itu atas laporan polis mangsa, seorang lelaki tempatan yang mengadu cermin keretanya pecah semasa melalui Jalan Imbi akibat dibaling batu oleh seorang lelaki yang berada di jejantas stesen Monorel, kira-kira 5 petang, 2 Ogos lalu.-MalaysiaGazette