Gelagat sebahagian pengunjung meredah hujan susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi ketika tinjauan di sekitar Jalan Bukit Bintang. Foto AIZAT ZAINAL. 04 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Ribut petir, hujan lebat bersama angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di Selangor pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mengeluarkan amaran itu memaklumkan, antara kawasan-kawasan yang terlibat adalah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Agensi itu menerusi hantaran di Facebook memberitahu, keadaan sama turut berlaku di Kuala Lumpur, Melaka selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. – MalaysiaGazette