Pihak bomba sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam SUV tersebut.

BAYAN LEPAS – Seorang lelaki maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terbabas sebelum tersangkut atas penghadang jalan di bahagian laluan motosikal di Kilometer 18.2 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzzam Shah, di sini, hari ini.

Kejadian jam 5.50 pagi itu menyebabkan, M. Guna, 29, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, di sini, dikatakan telah terbabas sendiri.

Jelas beliau, impak kejadian itu menyebabkan SUV jenis Proton X50 dipandu mangsa tersangkut atas penghadang laluan motosikal jambatan tersebut.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Kita juga terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba untuk keluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dan dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

”Kita juga sedang mengesan saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan susulan ada pemandu lori buat laporan mangsa langgar bahagian belakang kenderaannya sebelum kejadian,” katanya hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, mangsa mempunyai lesen memandu yang sah namun cukai jalan SUV tersebut didapati telah tamat tempoh pada Mac lalu.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa tidak mabuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast