Logo Meta yang mengendalikan FB, Instagram.

KUALA LUMPUR – Penyedia platform, Meta telah dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Sinar Harian melaporkan pengendali Instagram itu dipanggil untuk memberi penjelasan berkait tindakan menyekat beberapa hantaran yang dimuat naik melalui akaun rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PMO sebelum ini mengecam Meta kerana menurunkan perkongsian gambar di akaun Instagram milik Perdana Menteri.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada Mei lalu.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO memaklumkan, tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.

“Sehubungan itu, kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini dan mendesak Meta memohon maaf,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada hari pembunuhan pemimpin kanan, Hamas Ismail Haniyeh, Rabu lalu, Instagram sekali lagi dilaporkan menurunkan hantaran yang dibuat pada akaun rasmi Pedana Menteri.

Instagram memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi “simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya”.

Media sebelum ini melaporkan, Turkiye telah menyekat akses kepada rangkaian media sosial, Instagram.

Keputusan itu dibuat selepas seorang pegawai tinggi di Turkiye mendakwa wujud tindakan penapisan oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.

Pihak berkuasa komunikasi Turkiye, BTK, dalam catatan di laman sesawangnya memaklumkan keputusan sudah dibuat bahawa Instagram.com disekat pada 2 Ogos 2024, tanpa butiran lanjut.

Pengarah komunikasi kepada Presiden Turkiye, Fahrettin Altun, pada Rabu mengecam Instagram yang dimiliki Meta, menuduh platform itu menghalang orang ramai daripada memuat naik mesej takziah untuk pemimpin Hamas yang syahid, Ismail Haniyeh.

“Ini adalah tindakan yang sangat jelas lagi nyata untuk cuba melakukan penapisan kandungan,” katanya di platform X.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast