KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Malaysia agar sentiasa memelihara kemerdekaan yang telah diwariskan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sepertimana yang disebut Allahyarham dalam pemasyhuran kemerdekaan 67 tahun yang lalu.
Perdana Menteri berkata, sesungguhnya negarawan terulung itu telah membina,
mencorak dan membuka langkah untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya tidak hanya dari segi pembangunan malah kualiti rakyatnya.
Katanya, Tun Abdul Razak melalui ucapannya di Dewan Rakyat pada Februari 1972 juga pernah mengakui ketokohan Tunku dengan menyatakan perdana menteri pertama itu Tunku telah muncul pada saat yang penting dalam sejarah perjuangan bangsa kita.
“Tema “Negarawan Sejuta Jasa” adalah amat tepat bagi menggambarkan pengorbanan, sumbangan dan jasa Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia ini.
“Allahyarham Tunku dalam pemasyuran Merdeka pernah menyebut bahawa ‘Negara
kita ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya,”.
“Kini, ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara kemerdekaan ini dan memberi makna kepada sebuah negara yang bebas dan berdaulat,” katanya dalam ucapannya.
Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia Madani yang sentiasa saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang diselaputi sifat ihsan, saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa bersengketa.
Anwar berkata demikian dalam teks ucapannya yang diwakili dan dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang hadir menyempurnakan Majlis Tunku Abdul Rahmah Putra Al-Haj Negarawan Sejuta Jasa di Pavillion Bukit Jalil petang tadi di hadapan kira-kira 500 orang termasuk pelajar sekolah.
Tambah Anwar, bagi mengenang jasa dan sumbangan tokoh-tokoh negara serta melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan mempunyai jati diri yang kukuh, kerajaan telah meluluskan pembinaan institusi arkib memorial yang ditadbir urus melalui Arkib Negara Malaysia.
Jelasnya, sehingga kini sebanyak 11 buah memorial/galeria/ pustaka/rumah
kelahiran dibangunkan dan dibuka kepada orang ramai untuk lawatan.
“Salah satunya ialah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang terletak di Jalan Dato Onn yang telah dirasmikan pada 10 November 1994 dan tahun ini genaplah 30 tahun usia memorial tersebut dibina.
“Setinggi penghargaan juga kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara Malaysia kerana menganjurkan program seumpama ini bagi menyuburkan kecintaan
masyarakat kepada sejarah negara dengan mengenang dan menghargai sumbangan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memerdekakan dan mempertahankan
kemerdekaan negara,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyimpulkan negara di bawah pimpinan Tunku sebagai perdana menteri banyak membawa kemakmuran dengan terlaksananya projek-projek
pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi meningkatkan sosio ekonomi rakyat dan negara yang lebih sempurna dan terjamin.
Jelas Anwar lagi, ibarat kata pepatah Melayu “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”, ungkapan yang paling tepat dan sesuai untuk menggambarkan jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra.
“Berbicara tentang Tunku, sudah pastilah fikiran kita akan mengimbau kepada peristiwa kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia.
Kata Anwar, demi sebuah kemerdekaan, Tunku sedaya upaya menyatupadukan penduduk pelbagai kaum di Tanah Melayu yang mana UMNO yang dipimpin oleh Tunku telah
menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Cina Malaya (MCA) yang diterajui oleh Tun Tan Cheng Lock dan Kongres India Malaya (MIC) yang diketuai oleh Tun V.T. Sambanthan bagi bersama-sama menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
“31 Ogos 1957 menjadi tarikh keramat apabila kemerdekaan negara ini diperoleh tanpa perlu menumpahkan darah rakyat sebagaimana yang terjadi di kebanyakan negara lain yang terpaksa berperang untuk membebaskan diri daripada penjajahan.
“Sebagai mengenang jasa Tunku dalam membebaskan tanah air, Tunku telah dianugerahkan gelaran ‘Bapa Kemerdekaan Tanah Air’ pada 29 Ogos 1957 ketika Persidangan Agong UMNO yang berlangsung dari 29hingga 30 Jun 1957,” katanya lagi.-MalaysiaGazette