Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut sebuah kolej swasta mengaku tidak salah melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang bayi berusia 10 bulan Julai lepas.

Penuntut itu ketika prosiding memaklumkan dia sedang menghidap penyakit kanser leukemia berharap ikat jamin terhadapnya dikurangkan.

Tertuduh yang berusia 20 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Jalan Hamzah, Kampung Baru, Dang Wangi di sini pada 31 Julai lepas.

Difahamkan tertuduh merupakan anak angkat kepada pengasuh yang menjaga bayi berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 jika sabit salah memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Kafli Che Ali.

Timbalan Pendakwa Raya, Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan memohon syarat-syarat tambahan antaranya tidak menganggu mangsa, keluarga dan saksi.

“Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Azi Azlin Zulkifli merayu jumlah jaminan yang rendah diberikan kepada anak guamnya.

“Berdasarkan kesihatan tertuduh, adalah wajar untuk mahkamah memberikan jumlah jamin paling minimum kerana anak guam saya belum didapati bersalah atas dakwaan ini,” kata Azi Azlin.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 serta syarat tambahan dengan tarikh sebutan kes pada 24 September ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast