Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

PULAU PINANG – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, walaupun tidak menerima pemahaman daripada parti komponen PN, tetapi partinya tetap tegas dengan pendirian.

Dalam artikelnya di Kwong Wah Yit Poh, Dominic juga menyentuh isu kemungkinan partinya akan berpisah dengan PN.

Beliau bagaimanapun tidak memberi jawapan yang terang, sebaliknya berkata, “10 tahun minum ais, tetapi darah masih panas.”

Pepatah itu merupakan ungkapan oleh seorang ahli politik Dinasti Qing yang menggambarkan kesukaran dalam suasana dingin dan hampa, tetapi kesusahan yang dialami tidak memadamkan semangat yang membara.

“Sebagai sebuah parti pelbagai kaum, Gerakan pernah merasakan kemenangan dan kesukaran dalam perjuangan, malahan kutukan, tetapi kepercayaan kami tidak pernah goyah.

“Kami menerima kritikan dan suara rakyat serta memahami harapan dan permintaan rakyat, ini merupakan sumber kehidupan dan kekuatan untuk Gerakan,” katanya.

Beliau berkata, dalam isu konsert amal sekolah Cina baru-baru ini, Gerakan mempunyai pandangan berlainan dengan Pas.

“Hakikatnya, kami percaya bahawa dalam sebuah negara pelbagai agama dan kaum, setiap kaum harus menghormati hak yang diberikan oleh Perlembagaan.

“Setiap kaum boleh percaya agama masing-masing secara bebas, menyebarkan budaya masing-masing dan menggerakkan pendidikan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Gerakan adalah jelas iaitu membantah ekstremisme dan berusaha menggerakkan penambahbaikan liberalisme.

“Memang wujud perbezaan antara parti-parti komponen PN dan ini merupakan sesuatu yang harus ada dalam satu-satu pakatan.

“Soal pokoknya, kami harus menyelesaikan perbezaan dan mengambil masa untuk berintegrasi dan belajar untuk berkomunikasi,” katanya.

Ujarnya, walaupun nampak tidak mudah untuk menyelesaikan perbezaan antara Gerakan dan Pas, tetapi akar umbi akan meneladani jika pemimpin atasan sanggup saling memahami.

“Kerjasama politik seperti ini akan berpanjangan dan ini juga akan menonjolkan kepelbagaian PN,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast