KUALA LUMPUR – Seorang penganggur ditahan polis semalam susulan kes pecah masuk sebuah apartmen di Sky Awani 2, Sentul di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek warga tempatan berusia 26 tahun itu berjaya diberkas sekitar 9.30 malam.
“Suspek ditahan di tepi jalan di Kampung Baru malam tadi dan sehingga kini sebanyak empat laporan kes pecah masuk diterima. Polis juga telah merampas dua buah telefon bimbit, satu surat pajak serta satu kad akses Sky Awani Residensi daripada suspek.
“Susulan itu, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 11 Ogos,” katanya ketika dihubungi MalaysiGazette.
Tambah Ahmad Sukarno, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pemilik kediaman memaparkan seorang lelaki bertindak menceroboh masuk rumah mangsa.
Difahamkan, lelaki terbabit dipercayai masuk ke dalam residensi itu dengan menumpang lif bersama orang lain tanpa memiliki kad akses.
Kemudian lelaki itu bertindak menceroboh masuk ke rumah mangsa dengan memanjat dinding dan turun semula ke bawah menerusi tangga kecemasan. – MalaysiaGazette