KUALA LUMPUR – Para penulis di seluruh negara kini berpeluang menerbitkan karya atau naskhah mereka menerusi projek penerbitan buku berskala besar iaitu Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani.
Menerusi inisiatif yang mendapat dokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, sebanyak 100 buah buku disasarkan dapat diterbitkan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada Belanjawan 2024.
Menurut Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, inisiatif itu merupakan peluang terbaik kepada penulis di seluruh negara untuk merealisasikan impian dan melihat karya mereka diterbitkan.
Menyifatkan inisiatif itu sebagai `angin segar’ kepada para penulis tanah air, beliau turut yakin projek tersebut dapat melahirkan generasi penulis baharu yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana meyakini bahawa karya sastera merupakan kaedah terbaik ke arah pembentukan nilai kemanusiaan, memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman budaya, kesedaran sosial dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat
“Kami percaya setiap penulis memiliki potensi yang luar biasa. Melalui projek penerbitan ini, kami ingin memberikan mereka peluang dan kesempatan untuk mengembangkan bakat dan berkarya secara maksimum,” katanya, di sini, baru-baru ini.
Menerusi projek itu, Pena membuka pintu bagi pelbagai genre penulisan terutama sastera (novel, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen, dan puisi), buku umum sehingga kepada buku bergambar kanak-kanak.
Penulis yang menyertai projek itu akan memperoleh beberapa manfaat antaranya royalti 10 peratus daripada harga jualan buku selain diberikan bimbingan editor profesional bagi meningkatkan kualiti karya.
Selain itu, buku terbitan mereka juga disasarkan untuk diterbitkan dalam tempoh enam bulan selepas manuskrip dipilih dan akan diedarkan secara meluas melalui pelbagai saluran sama ada secara online, perpustakaan dan kedai buku.
Para pengkarya boleh menghantar manuskrip masing-masing bermula sekarang sehingga 15 November depan.
Manuskrip karya boleh dikirimkan secara dalam talian di www.bukupena.com.my, melalui e-mel [email protected] atau WhatsApp 019-5196316. Maklumat lanjut mengenai projek ini boleh menghubungi Mohd. Khairulanuar Manshor di talian 019-2177204, atau e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette