Gambar hiasan

SEOUL- Empat syarikat pengeluar kenderaan domestik dan asing Korea Selatan akan memanggil 172,000 kenderaan akibat kerosakan pengilangan.

Menurut laporan Xinhua, perkara itu dimaklumkan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, pada Khamis.

Katanya, BMW Korea akan memanggil 113,197 unit daripada 98 pelbagai model termasuk BMW 320d ekoran kerosakan modul pengembung beg udara.

Manakala Hyundai Motor bakal memanggil 43,926 unit daripada dua model termasuk Santa Fe disebabkan masalah pendawaian di kerusi barisan kedua.

Kia Corp pula perlu membaiki unit kawalan hidraulik elektronik (HCU) yang tidak tahan lama pada 15,763 unit model Soul.

Sementara itu, KGM Commercial akan mengambil tindakan pembetulan ke atas 52 unit model bas elektrik Smart 110E disebabkan masalah sistem stering.

Pemilik-pemilik kenderaan boleh mengunjungi pusat servis untuk menukar alat ganti yang rosak dengan percuma.-Agensi