Aaron Ago mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang meluluskan cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara
Penganut Agama (Harmoni) meluluskan cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata,
piagam tersebut mengandungi satu garis panduan meliputi perkara yang perlu dielak dalam memperkasa hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Piagam Harmoni ini merangkumi enam prinsip, 12 nilai-nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Aaron berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara mempunyai peranan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan menggunakan beberapa mekanisme walaupun tidak mempunyai kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan dari sudut perundangan.

“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan melalui beberapa mekanisma seperti Sistem E-Sepakat, Dashboard Analitik Perpaduan, Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat, Pusat Mediasi Komuniti dan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan,” tambahnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan komitmen rakyat yang berbilang kaum dan agama amat penting supaya kesepaduan dalam mencar titik persamaan dengan membudayakan pendekatan faham, hormat dan terima demi keharmonian negara ini terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast