SUBANG – Empat suspek lelaki yang memecahkan cermin sisi kiri kereta seorang juruteknik dan cuba menyamun mangsa telah direman hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keempat-empat suspek dihadapkan ke mahkamah pagi tadi untuk perintah reman.
“Kesemua suspek tempatan berusia 30 hingga 41 tahun itu dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 11 Ogos ini membantu siasatan lanjut dalam kes.
“Kertas siasatan dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 393 dan 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan juga denda jika disabitkan bersalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menerusi kenyataan pagi tadi mengesahkan tangkapan empat suspek lelaki berkenaan di sekitar daerah Klang dan juga Shah Alam petang semalam.
Kesemua suspek diberkas bertindak atas laporan polis daripada mangsa seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun mengenai insiden tersebut pukul 1.37 pagi semalam.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Kesas Shah Alam selepas mangsa dan ahli keluarganya selesai mengisi petrol dalam kereta mereka.
“Pengadu didekati suspek yang menaiki motosikal dan sebuah kereta Toyota Estima sebelum menghalang dan memberhentikan motosikal hadapan kereta pengadu.
“Suspek menghayunkan kayu yang mengakibatkan cermin sisi kenderaan mangsa pecah,” katanya.
Hasil tangkapan suspek berjaya merampas kenderaan jenis NIssan Almera, sebuah motosikal Yamaha LC135 dan enam unit telefon bimbit milik suspek.
“Siasatan mendapati polis percaya kesemua suspek terlibat dalam jenayah yang sedang disiasat polis,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















