Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan bersetuju bahawa laporan berita tidak harus dinilai tidak sah kerana memetik sumber.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, kerahsiaan sumber adalah salah satu tonggak penting dalam kewartawanan.

Ini kerana, jelas ahli DAP itu, wartawan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kerahsiaan sumber yang dirujuk dalam laporan mereka.

“Kerahsiaan ini amat penting supaya media dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan. Ia adalah sebahagian daripada kod etika kewartawanan seluruh dunia.

“Malahan, badan Kehakiman juga telah mengiktiraf hak untuk melindungi kerahsiaan sumber dalam beberapa kes, walaupun hak tersebut tidak mutlak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syahredzan merujuk laporan media yang memetik kenyataan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) yang membantah sebarang usaha yang boleh mengancam hak wartawan bagi melindungi kerahsiaan identiti sumber yang tidak dinamakan.

Kedua-dua kesatuan itu berkata, sebarang laporan berita tidak seharusnya dinilai sebagai “tidak benar” atau “tidak sah” hanya kerana memetik sumber dengan identiti dirahsiakan.

Mengulas lanjut, Syahredzan bagaimanapun berkata, terdapat keperluan supaya pengamal media bertanggungjawab terhadap apa yang mereka terbitkan namun hak untuk melindungi kerahsiaan sumber tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menggunakan peruntukan undang-undang jenayah untuk memaksa atau mendesak wartawan untuk mendedahkan sumber mereka.

“Saya menggesa supaya semua pihak, termasuk PDRM dan kerajaan, untuk mendukung hak wartawan dan menghormati peranan media dalam negara kita,” jelasnya.

Semalam, jurucakap kerajaan perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil menasihatkan wartawan supaya “memberi bekerjasama yang baik” dengan polis dalam siasatan pihak berkuasa itu terhadap sumber berita.

Menteri Komunikasi itu berkata, walaupun kementeriannya menghormati hak media untuk melindungi sumber mereka namun undang-undang sedia ada masih terpakai. – MalaysiaGazette