KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan persoalan perlembagaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Permohonan merujuk persoalan itu dibuat Setiausaha Agung Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi yang berdepan perbicaraan jenayah di Mahkamah Majistret sejak dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, persoalan perlembagaan untuk dirujuk itu adalah sama ada Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Fasal 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak asasi untuk berhimpun secara aman.
Sebelum ini Mahkamah Rayuan memberikan keputusan yang bertentangan dalam rayuan membabitkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.
“Mahkamah boleh jelaskan sama ada Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan hak asasi tertuduh untuk berhimpun secara aman,” katanya, hari ini.
Amir mencabar kesahihan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada Ogos 2022, Amir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.
Amir yang menjadi penganjur didakwa gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada jam 2 petang 14 Ogos 2022.
Jika sabit kesalahan, Amir boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012. – MalaysiaGazette















