KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mendapatkan pasport untuk sementara bagi membolehkannya menyelesaikan urusan perbankan arwah isterinya di Singapura.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob juga membenarkan Wan Saiful menziarahi kakaknya yang kini menetap di Indonesia.
Beliau memerintahkan supaya pasport bekas Ketua Penerangan BERSATU itu diserah hari ini dan perlu dikembalikan sebelum atau pada 17 Ogos ini.
Permohonan Wan Saiful juga tidak mendapat bantahan pihak pendakwaan, Rashidah Murni Adzmi.
Ketika prosiding, kata peguam mewakili Wan Saiful, anak guamnya akan bertolak ke Singapura pada 10 Ogos ini.
Pada 11 Ogos Wan Saiful akan berlepas ke Jakarta dan pulang pada 17 Ogos.
Pada 22 Julai lepas, isteri Wan Saiful, Datin Alena Omar meninggal dunia akibat kanser di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.
Ketika ini, Wan Saiful sedang didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. -MalaysiaGazette















