PETALING JAYA – Sekumpulan 35 pembeli rumah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bandar Ekar, Rantau Negeri Sembilan mempersoalkan pemaju perumahan itu kerana masih gagal melunaskan bayaran ganti rugi (LAD).
Wakil mereka, Farghani Mohammad berkata, bayaran ganti rugi itu yang melibatkan kira-kira 700 pembeli rumah masih tertunggak sejak tahun lalu.
“Seperti janji sebelum ini, mereka akan serahkan LAD setiap tiga bulan namun bayaran terakhir kami yang kami dapat setakat Oktober 2023 iaitu LAD yang keenam.
“LAD ketujuh kami tunggu sampai sekarang masih tidak dapat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PR1MA, Ara Damansara, di sini hari ini.
Terdahulu Farghani bersama 35 pembeli projek rumah PR1MA Rantau, Negeri Sembilan hadir untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pengurusan tertinggi PR1MA.
Projek PR1MA Bandar Ekar, Rantau yang dimulakan pada 2017 sepatutnya selesai Januari 2019 membabitkan pembinaan 776 unit rumah iaitu 210 rumah satu setengah tingkat dan 566 adalah rumah dua tingkat.
Dalam pada itu, Farghani berkata, majoriti pembeli terbabit kesal apabila kelambatan bayaran ganti rugi itu berpunca daripada urusan pembayaran LAD keenam belum selesai.
“Apabila kita tanya kepada pihak PR1MA, mereka menyampaikan jawapan yang sama iaitu LAD keenam masih dalam proses dan belum selesai, jadi dia tak teruskan untuk LAD ketujuh.
“Alasan mereka kami tidak boleh terima, kalau tak selesai sehingga 2025, adakah pembeli lain yang layak untuk LAD tujuh itu terpaksa tunggu LAD keenam selesai.
“Sedangkan pembeli-pembeli terbeban dengan bayaran penuh rumah yang tidak siap dan bayaran rumah sewa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















