Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perasmian Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 08 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – UMNO akan menjemput ketua-ketua parti dalam kerajaan perpaduan bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jemputan itu termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu rasmi perhimpunan berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata kehadiran ke PAU2024 itu bergantung kepada kelapangan semua ketua-ketua parti.

“Tahun lepas memang kita jemput pemimpin kerajaan perpaduan, sama ada datang atau tidak kita lihat kelapangan pemimpin berkenaan untuk menghadiri PAU kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kad jemputan telah diedarkan kepada semua ketua-ketua parti, Ahmad Zahid hanya berkata “Kita telah berbincang”.

UMNO akan menganjurkan perhimpunan tahunan berkenaan pada 21 hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke PAU2023 selepas 25 tahun beliau dipecat daripada UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast