Kerja-kerja memotong paip dilakukan oleh kakitangan SPAN disebabkan pengambilan air secara tidak sah ketika Operasi Penguatkuasaan Cegah Sambungan Haram di sebuah tapak pembinaan landasan keretapi di Taman Melati, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 8 OGOS 2024

GOMBAK – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengalami kerugian bernilai RM410,000 susulan kes curi air bersih terawat di dua lokasi tapak pembinaan projek landasan kereta api di Selangor.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusof berkata, penyambungan bekalan air tidak sah itu dikesan di Taman Melati, Gombak dan Serendah sejak setahun lalu dengan jumlah penggunaan sebanyak 250,000 meter kubik.

“Dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan, SPAN mendapati sambungan tidak sah ini telah menyalurkan bekalan air ke kawasan kediaman sementara para pekerja untuk kegunaan harian.

“Bekalan air ini juga ditakung ke dalam beberapa buah tangki simpanan air untuk kegunaan mencuci kenderaan yang keluar masuk ke tapak pembinaan.

“Semakan di Taman Melati mendapati ada dua sambungan menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) berukuran 25 milimeter (mm) dan 32mm secara terus kepada paip utama Air Selangor dengan nilai kerugian RM300,000 bersamaan 175,000 meter kiub penggunaan air selama setahun.

“Manakala di Serendah, mereka menggunakan sambungan paip HDPE berukuran 25mm dengan kerugiaan dianggarkan RM110,000 selama setahun penggunaan 75,000 meter kiub.

“Hasil siasatan rekod ke atas kedua-dua premis itu tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan Air Selangor,” katanya.

Pengarah Unit Penguatkuasa SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop bercakap kepada wartawan ketika Operasi Penguatkuasaan Cegah Sambungan Haram di sebuah tapak pembinaan landasan keretapi di Taman Melati, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 8 OGOS 2024

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan serbuan di tapak pembinaan projek landasan kereta api di Taman Melati hari ini.

Ainal Yusman juga memaklumkan, serbuan tersebut dilakukan hasil tinjauan dan risikan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi dalam penyata bil air dan penggunaannya.

“Ini adalah kali pertama pihak SPAN bersama Air Selangor menerima kes curi air di tapak pembinaan projek landasan kereta api.

“Susulan itu, bekalan air di kedua-dua premis ini akan dipotong dan siasatan lanjut dijalankan sebelum kompaun serta pendakwaan dilakukan.

“Pada masa sama kita akan meneruskan carian di beberapa lokasi lain untuk memastikan tiada lagi kegiatan ini berlaku,” jelasnya.

Bukti-bukti pengambilan air secara tidak sah ketika Operasi Penguatkuasaan Cegah Sambungan Haram di sebuah tapak pembinaan landasan keretapi di Taman Melati, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 8 OGOS 2024

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 123(1) dan Seksyen 123(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)  yang jika sabit bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga berharap operasi penguatkuasaan SPAN  diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu saha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Sehubungan itu, SPAN memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes yang disyaki melakukan kecurian kepada SPAN secara WhatsApp ke talian 013 – 388 5000 atau e-mel ke [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast