KUALA LUMPUR – Kontinjen Indonesia terus cemerlang di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila meraih pingat emas kedua menerusi atlet angkat berat, Rizki Juniansyah yang memenangi kategori 73 kilogram (kg) lelaki hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu melakar kejayaan cemerlang itu selepas melakukan angkatan keseluruhan 354 kg selain memperbaharui rekod Olimpik dalam acara clean and jerk apabila mengangkat bebanan 199 kg.
Semalam, Indonesia meraih pingat emas pertama di Olimpik Paris menerusi Veddriq Leonardo yang muncul sebagai pemenang dalam acara mendaki selepas melakukan catatan masa 4.75 saat (s) yang merupakan catatan peribadi terbaik (PB).
Veddriq, 27, memperbaiki catatan masanya dalam setiap perlumbaan bermula dari suku akhir, sebelum menumbangkan Wu Peng dari China dengan perbezaan masa 2/100 saat (s) untuk merakam catatan peribadi terbaik 4.75s.
Dengan kemenangannya, Veddriq memberikan Indonesia emas Olimpik pertama mereka selain dari sukan badminton dan pingat emas kesembilan mereka sejak penampilan pertama di Olimpik pada tahun 1952. – Agensi