Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2015 di Menara Kuala Lumpur, Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 menerusi tema Experience Kedah dengan sasaran warga Malaysia yang hendak ke Thailand atau pun sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri mahu menarik golongan itu agar bermalam di Alor Setar, Sungai Petani atau di mana-mana bandar di Kedah yang lebih ‘selamat’ dunia dan akhirat.

Menurut beliau, pelancong yang datang ke negeri Jelapang Padi itu boleh melawat madrasah atau pondok-pondok pengajian Islam yang masih banyak ada di Kedah.

Ujarnya, tarikan itu ditawarkan terutama di Sik, Baling, Yan, Pokok Sena dan Padang Terap dan bukan hanya terdapat di Pattani atau Narathiwat.

“Kita tertanya-tanya juga, mengapa masih tidak ramai orang menjadikan Kedah sebagai destinasi melancong. Mereka hanya lalu dan cop pasport di Bukit Kayu Hitam atau Durian Burung untuk ke Thailand.

“Banyak kereta dengan nombor plet Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan lalu di  Kedah tetapi jarang ada yang singgah bermalam.

“Mereka tidak sabar-sabar hendak bermalam di Haadyai atau Songkhla,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Menara Kuala Lumpur di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tema Experience Kedah adalah ajakan atau pelawaan iaitu bermaksud orang Kedah adalah ‘keloi ajak mai’.

Kata beliau, ia untuk pelancong datang dan merasai sendiri pengalaman berada di Kedah yang sebenar.

“Pengalaman ini tidak akan dapat dinikmati dengan sebarang cara lain selain datang sendiri ke Kedah.

“Kerajaan negeri bersama Kedah Tourism telah menetapkan lima komponen utama yang akan diberi penekanan iaitu sumber alam semulajadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah,” katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, Kedah memiliki potensi yang luar biasa dalam pembangunan pelancongan serantau.

Ujarnya, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kedah berada dalam senarai Top 5 dari segi jumlah kehadiran pelancong bagi tahun 2023.

Kata beliau, dengan kehadiran 6.45 juta pelancong, Kedah berada di belakang Johor, Selangor, Pahang dan Perak, tetapi di hadapan lapan negeri dan wilayah lain.

“Angka ini dan angka pada tahun-tahun sebelumnya merangsang keyakinan kita bahawa Kedah mampu menarik lebih ramai pelancong pada tahun 2025.

“Memang benar, Langkawi merupakan pintu masuk utama pelancong ke Kedah. Selain Langkawi, kita  akan berusaha  membawa pelancong ke Tanah Besar Kedah melalui pakej dan kempen yang telah dan akan dirancang.

“Kita yakin Tanah Besar Kedah yang kaya dengan pelbagai produk dan sumberjaya pelancongan itu mampu dipromosi dan dipasarkan sehingga menjadi destinasi pilihan pelancong di rantau ini,” katanya.

Muhammad Sanusi juga menyedari ada kalangan yang skeptikal menganggap imej negeri pertanian menyulitkan Kedah untuk menjadi pilihan pelancong.

Namun di bawah pentadbirannya, beliau menegaskan, imej Jelapang Padi merupakan satu kelebihan dan bukannya kekurangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast