GEORGE TOWN – Wakil rakyat kawasan Bukit Gelugor dan Seri Delima tampil menziarahi keluarga Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, yang dipercayai masih hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya hadir sebagai tanda solidariti dan sokongan susulan situasi sukar yang sedang dihadapi keluarga berkenaan.
“Kita faham situasi sukar yang dihadapi keluarga kini. Saya difahamkan mangsa sepatutnya pulang Isnin lalu, tetapi malangnya bencana ini telah pun berlaku.
“Saya juga telah maklumkan kepada keluarga bahawa kami akan berikan perkembangan atau apa-apa kemas kini yang diterima daripada Wisma Putra.
“Saya akan dapatkan perkembangan terkini supaya kita boleh beri sokongan penuh kepada keluarga,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Muhammad Muhaimin di Taman Tun Sardon, Gelugor di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zaidi Omar.
Dalam kunjungan itu, Ramkarpal menyumbangkan RM2,000 kepada keluarga berkenaan manakala Connie Tan pula, menyampaikan RM1,000.
Sementara itu, Connie Tan berkata, pihaknya turut menyediakan barangan keperluan asas kepada keluarga berkenaan memandangkan terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan kencing manis.
“JKM juga akan datang petang ini untuk memberikan sokongan psikologi kepada keluarga,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
‘Kami terkilan, tak tenang fikir nasib Muhaimin di Nepal’ – Bapa
Media sebelum ini melaporkan Muhaimin bersama Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















