ATM RM1 cash withdrawal charge fee MEPS bank
Mesin ATM. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bakal menerima kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menjadi keperluan mereka sejak sekian lama.

Ini kerana, kesukaran yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan berhubung perkara itu mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Menerusi kenyataan MOF memaklumkan, satu perbincangan telahpun diadakan dengan beberapa bank tempatan mengenai hal itu dan ianya telahpun mendapat maklum balas yang positif.

“Kementerian Kewangan mengambil maklum laporan yang diterima berkenaan kesukaran penduduk DUN Nenggiri untuk mendapatkan akses mesin ATM dan perlu ke Gua Musang yang terletak sejauh 50 kilometer dari kawasan mereka.

“Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan mesin juruwang automoatik (ATM) di DUN Nenggiri dania mendapat respon positif,” katanya.

Menurut MOF lagi, pengaktifan perkhidmatan ATM itu akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan usaha berkenaan akan diperluas dalam memastikan mereka menerima kemudahan tersebut.

Tambahnya, MOF turut akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenalpasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan itu dapat diperluaskan.

Sehubungan itu MOF meminta orang ramai yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses mesin ATM supaya menghubungi pihaknya melalui talian [email protected] atau talian 03-8000 8000. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast