KUALA LUMPUR – Berdasarkan Kod Etika Kewartawanan, media mempunyai hak untuk merahsiakan sumber.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menasihatkan pengamal media untuk tetap memberi kerjasama terhadap siasatan yang dilakukan pihak berkuasa termasuk polis.
“Saya tegaskan, wartawan ada hak untuk membuat laporan tetapi berdasarkan undang-undang juga pihak polis ada hak untuk menyiasat. Ia bukan sesuatu yang kontradiksi.
“Kalau (wartawan) membuat laporan dan anda yakin dengan berita serta sumber anda (benar), apabila ditanya, maka jawaplah.
“Tidak menjadi isu,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka di Lembah Pantai hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai siasatan Bukit Aman terhadap artikel yang diterbitkan sebuah portal mengenai rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertingginya.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa, bakal berlaku beberapa perubahan terhadap figura berprofil tinggi di Bukit Aman termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri, Mohd Shuh aily Mohd Zain.
Namun, berita berkenaan telah dinafikan Ketua Polis Negara Razarudin Husain kelmarin yang menyifatkannya sebagai spekulasi palsu.- MalaysiaGazette