SYDNEY – Sebuah helikopter terhempas di bumbung Hotel Hilton di timur laut Australia pada hari Isnin, kata polis, mencetuskan kebakaran di atas bangunan dan memaksa pemindahan besar-besaran.
Serpihan kipas helikopter yang hancur mendarat di kolam hotel, kata seorang pegawai perkhidmatan kecemasan.
Polis mengesahkan juruterbang maut di tempat kejadian dan forensik sedang mengenal pasti mayat mangsa.
Ketika kejadian, helikopter berkenaan dipandu oleh seorang sahaja juruterbang.
Kira-kira 300 hingga 400 tetamu hotel dipindahkan dari DoubleTree by Hilton, di bandar utara tropika Cairns, selepas helikopter itu terhempas sekitar 1.50 pagi waktu tempatan.
Imej menunjukkan kepulan api yang terang menyala di atas bumbung hotel.
“Mereka baru sahaja terbang ke dalam bangunan itu,” kata suara wanita dalam video yang dikongsi di media sosial dengan berlatar belakang bunyi siren.
Penyelia Queensland Ambulanss Caitlin Denning berkata, kipas pesawat itu telah tertanggal.
“Satu mendarat di Cairns Esplanade dan terdapat kipas kedua terletak di kolam hotel di tingkat bawah dan ia terbakar,” katanya kepada media tempatan.
Polis Queensland berkata, tiada kecederaan yang dialami oleh orang ramai.
Cairns ialah hab pelancongan popular yang menawarkan pintu masuk ke Great Barrier Reef yang terkenal di Australia.
Pasukan penyiasat kerajaan dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia telah dihantar ke lokasi nahas. – Agensi