MELAKA – Suami kepada mangsa pembunuhan kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, mendakwa isterinya pernah meminjamkan RM19,400 kepada kenalan lelakinya pada September tahun lalu.
Mohd Yusoff Mokhtar, 35, sama sekali tidak menyangka sifat pemurah isterinya itu berakhir dengan pembunuhan kejam dipercayai dilakukan kawannya itu yang dikenali Istiqomah sejak lapan tahun lalu sejak belajar di maktab perguruan.
“Kawannya itu tiba-tiba muncul dan mengajak isteri saya menyertai perniagaannya sebelum Istiqomah yang terkenal dengan sikap pemurahnya membuat pinjaman bank dan menyerahkan sejumlah RM19,400 kepada lelaki itu September tahun lalu.
“Bulan seterusnya sehingga Disember, kawannya ada membuat bayaran balik RM371 sebulan dan mengajak Istiqomah berjumpa untuk menambah pelaburan namun isteri menolak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurut Mohd Yusoff, ketika pertemuan itu, isterinya ada memakai gelang tangan emas pemberian arwah neneknya dianggarkan bernilai RM40,000 yang turut hilang dalam kejadian itu.
“Luluh hati saya bila dapat tahu isteri tersayang yang hilang sejak lapan bulan lalu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan beberapa anggota badannya dikerat dan dibuang di sekitar Melaka.
“Jika sebab duit atau barang kemas sekali pun kenapalah pembunuhnya sanggup bertindak sekejam itu menyebabkan tiga anak-anak kami berusia empat, enam dan sembilan tahun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu,” katanya sebak.
Mohd Yusoff berkata, walaupun perit untuk diterima, dia reda dengan ketentuan Allah dan berharap pelaku dapat dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang.
“Sekarang ini, saya hanya menunggu kebenaran pihak polis untuk menuntut jenazah isteri di Hospital Melaka untuk dikebumikan di kampung halaman isteri di Pasir Mas, Kelantan,” katanya.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan, mayat wanita dibunuh kejam dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang di longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini, 31 Disember lalu adalah Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah Ashari dilaporkan berkata, pengesahan itu dibuat selepas hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan pada 2 Ogos lalu ke atas ibu seorang wanita yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember tahun lalu sepadan dengan mangsa.
Hasil risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan isterinya berusia 36 tahun di Chemor, Perak.
Siasatan terhadap kedua-duanya kemudian membawa penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.
Susulan itu, suspek yang juga bekas guru itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragis itu.
Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap suspek dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee untuk membantu siasatan di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
Terdahulu suspek yang mengenakan pelitup muka dan memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira 8.30 pagi diiringi anggota polis.
Sebelum ini suspek bersama isterinya berusia 36 tahun direman bermula 6 Ogos sehingga hari ini sebelum isterinya dibebaskan mahkamah hari ini selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette