Datuk Seri Khaw Kok Chin bersama pasukannya menunjukkan kejayaan rampasan dadah bernilai RM21.8 juta dalam sidang media di IPKKL petang hari ini.

KUALA LUMPUR – Modus operandi seorang warga asing yang aktif mengedar dadah dengan menjadikan kedai ubat milik anak perempuan sebagai setor simpanan bekalan itu akhirnya terbongkar.

Suspek warga Singapura itu ditahan bersama seorang lagi suspek pada Sabtu lalu dan dadah bernilai hamper RM22 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua mereka ditahan dalam dua serbuan secara serentak di ibu negara pada 10 Ogos lalu jam lebih kurang 2 petang.

Katanya, dalam serbuan pertama, seorang lelaki 48 tahun yang berperanan sebagai runner ditahan di sebuah kedai ubat di Taman Desa Petaling.

Datuk Seri Khaw Kok Chin bersama pasukannya menunjukkan kejayaan rampasan dadah bernilai RM21.8 juta dalam sidang media di IPKKL petang hari ini.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis berkenaan berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan 209.65 kilogram dadah jenis pil Erimin 5 di dalam sebuah bilik di tingkat pertama kedai tersebut.

“Berpandukan maklumat suspek pertama, pasukan melakukan serbuan kedua ke atas suspek kedua, seorang lelaki warga asing yang merupakan ketua sindiket.

“Lelaki berusia 64 tahun itu ditahan di dalam kenderaan jenis Mercedes Benz hitam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kok Chin berkata, suspek pada mulanya enggan memberhentikan kenderaannya hingga polis terpaksa mengejar dan menahan suspek bersama kenderaan di hadapan sebuah restoran yang terletak 30 meter dari lokasi pertama serbuan di Taman Desa Petaling.

Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan kereta Mercedes Benz yang dirampas dari ketua sindiket dadah warga asing berusia 64 tahun dalam sidang media di IPKKL hari ini

Tambahnya, pemeriksaan di dalam kenderaan warga emas itu membawa kepada penemuan dan rampasan dadah jenis pil ekstasi seberat 5.55 kilogram di tempat letak kaki penumpang hadapan kereta itu.

Kesemua dadah dirampas itu bernilai RM21.8 juta yang boleh digunakan oleh 1.1 juta penagih dadah.

Kok Chin berkata, sindiket itu mula aktif sejak awal tahun ini dan mendapat bekalan dadah dari luar negara untuk tujuan pengedaran di dalam kawasan sekitar Lembah Klang dengan Harga RM25 hingga 50 sebiji.

Kedua-dua suspek kini direman enam hari sehingga 16 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan bersalah.

Polis turut mengambil tindakan di Bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana JSJN telah menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM59,000 (kereta Perodua Aruz) dan wang tunai RM3,000.

Katanya lagi, ketua sindiket dadah ini pernah ditangkap pada tahun 2023 atas kesalahan dadah tetapi dibebaskan kerana tiada barang kes bukti.

Namun polis memantau pergerakannya sehingga dia tertangkap kali ini, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast