Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang menteri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Jemaah Menteri.

Portal FMT melaporkan rombakan Jemaah Menteri dikatakan bakal berlaku berdasarkan dua sumber yang mengetahui mengenai perkembangan tersebut.

Menurut laporan berkenaan, prestasi menteri PKR berkenaan telah dipertikaikan dan beliau dijangka sama ada digugurkan atau ditukarkan ke kementerian lain.

Sumber dari DAP yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan mengesahkan terdapat perbincangan tentang rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos.

“Pada mulanya, perbincangan adalah untuk rombakan yang akan berlaku pada akhir bulan ini, jadi kita hanya perlu tunggu dan lihat; dalam politik, apa sahaja boleh berlaku,” kata sumber itu.

Sementara itu, satu sumber korporat berkata seorang menteri memberikan alasan rombakan yang akan berlaku sebagai sebab pembatalan kehadiran menteri itu di satu acara syarikat bulan ini.

“Kami menetapkan tarikh untuk menteri tersebut hadir untuk acara itu tetapi wakil menteri membatalkannya pada saat akhir, dengan alasan rombakan sebagai sebab, kata sumber itu.

Portal itu mendakwa, seorang menteri besar dipercayai akan mengambil jawatan menteri. Pelantikan menteri besar itu telah dibincangkan sebelum rombakan Jemaah Menteri pada Disember lalu.

Di peringkat negeri, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah mengetahui tentang hal ini, kata sumber tersebut.

Jemaah Menteri dirombak pada Disember tahun lalu dan dibesarkan daripada 29 menteri kepada 31 menteri.

V Sivakumar dari DAP digugurkan sebagai menteri sumber manusia, manakala dua individu kembali sebagai menteri iaitu Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dari Amanah sebagai menteri kesihatan dan Datuk Seri Johari Ghani dari UMNO sebagai menteri perladangan dan komoditi.

Sementara beberapa menteri bertukar portfolio dan beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yang patut digugurkan adalah Adam Adli. Tak berfungsi langsung dan tak hala tuju. Lantiklah Akmal Saleh sebagai senator.

Comments are closed.