Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali menunjukkan antara lokasi serbuan di kilang e-waste.

KUALA LUMPUR – Pelbagai aset kilang memproses sisa elektronik (e-waste) berjumlah RM43.10 juta disita dalam serbuan di tujuh buah kilang di tiga negeri pada 5 Ogos lalu

Antara lokasi serbuan yang terlibat adalah Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh di Negeri Sembilan dan Simpang Renggam, Johor.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya turut menahan 55 individu termasuk seorang ahli perniagaan bergeral Datuk dalam serbuan tersebut.

Katanya, Op E-Waste itu dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas tujuh kilang e-waste, 5 Ogos lalu.

“Kesemua tangkapan itu membabitkan 10 warga tempatan termasuk seorang wanita dan 45 warga asing yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

“Semakan mendapati warga tempatan ini berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis (kilang) dengan nilai puluhan ribu ringgit.

“Manakala warga asing yang ditahan pula memainkan peranan pembawa tekonologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain menjadi juruteknik.

“Operasi fasa pertama ini adalah mengesan kilang-kilang ini yang telah beroperasi sejak 2023 dengan memperoleh bahan e-waste dari sebuah ngara di Asia.

“Mereka akan memproses e-waste ini menjadi jongkong dan blok logam dengan nilai mencecah RM70,000 setiap unit sebelum diseludup semula ke negara luar” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, hari ini.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali .

Tambah Muhammad Hasbullah, pemeriksaan mendapati kilang tanpa lesen dan tidak berdaftar itu mengaut keuntungan jutaan ringgit dikesan menggajikan warga asing tidak sah sebagai pekerja.

“Berikutan itu, AMLA telah menyita dan merampas pelbagai aset seperti pallet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta.

“Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian.

“Bagaimanapun, AMLA akan melihat isu e-waste ini secara menyeluruh termasuklah siapa dalang di sebaliknya, bagaimana ia dibawa masuk dan modus operandinya,” jelasnya.

Katanya, kebanyakkan kilang haram itu dikesan beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama.

“Malah proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Berdasarkan kes sebelum ini, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa namun kilang ini boleh kembali beroperasi dan kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan,” ujarnya.

Antara 55 individu yang ditahan susulan serbuan memproses sisa elektronik (e-waste) haram dalam serbuan di tujuh buah kilang melibatkan tiga negeri di Semenanjung.

Tegasnya, dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram ini, polis mengingatkan orang ramai dapat memberi kerjasama debgan menyalurkan maklumat.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat,” ujarnya.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

“Ia termasuk Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast