Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 46 tahun yang disyaki menyerang dua wanita di kawasan surau di Kelana Jaya pada Jumaat lalu direman tujuh hari, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, polis turut menahan reman rakannya berusia 55 tahun yang disyaki bersubahat menyembunyikan suspek dalam rumah di kawasan Kajang.

“Majistret Nur Natasya Mohtarudin membenarkan reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Ogos.

“Penahanan kedua kedua-dua suspek dibuat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki yang menyerang dua wanita telah ditahan polis kira-kira 1.30 pagi tadi.

Suspek telah bersembunyi di sebuah rumah di Kajang sebelum ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Difahamkan, suspek yang bersembunyi di rumah rakannya itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang kediaman tersebut, namun berjaya dihalang polis.

Semakan polis juga mendapati, suspek mempunyai enam rekod kesalahan jenayah membabitkan samun, curi dan curi kenderaan.

Pada Jumaat lalu, suspek menikam seorang wanita berusia 26 tahun di dalam tandas surau dan mencederakan guru besar wanita berusia 52 tahun ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Suspek yang bersenjatakan pisau sempat melarikan diri dipercayai menaiki kenderaan jenis Audi.

Susulan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dan polis giat memburu suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast