Foto IG Nora.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora menjelaskan lafaz talak menerusi video yang dibuat Dr. Rushdi Ramli adalah atas arahan pihak tertentu dan bukan kemahuan sendiri suaminya itu.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 51, berharap orang ramai tidak menyalahkan lelaki terbabit mahupun mengutuk tindakan menceraikannya.

“Ustaz (suami) tidak bersalah. Dia hanya mengikut arahan yang diberikan padanya.

“Dia melepaskan saya tanpa sebarang sebab dan juga merakamkan video sebagai bukti,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Story miliknya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Samudera itu tidak menyatakan secara terperinci identiti individu yang memberikan arahan tersebut.

Menerusi hantaran sama, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu turut memberitahu dia tidak dapat mengulas perceraian itu selain hanya mampu reda.

“Saya tergamam, tak terkata. Cukuplah Allah bersamaku,” ujarnya.

Semalam, Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi rakaman video berdurasi 52 saat.

Pada 1992 Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan Nawawi dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Nora mengumumkan sudah kembali bergelar isteri kepada Rushdi dalam satu majlis pada hujung 2021.

Penyanyi tersebut enggan menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan perkahwinannya selain hanya memaklumkan Rushdi merupakan sahabat baik kepada Johan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast