KUALA LUMPUR – Komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang telah diharamkan penerbitannya pada tahun 2019 kini sudah ‘dihalalkan’ semula oleh Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mempersoalkan ketegasan yang pernah ditunjukkan oleh UMNO sebelum ini.

“Selepas ianya diharamkan, kini pengharamannya digugat kembali.

“Adakah pemimpin Melayu khususnya UMNO hanya mampu berdiam diri sahaja sebagaimana pemimpin Amanah selama ini?” tulisnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut membidas tindakan presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pernah lantang dan tegas khususnya berkaitan ABATA (agama, bangsa dan tanah air) sebelum ini.

“Adakah Presiden UMNO sudah selesa dengan norma baharu ini?

“UMNO yang dulu kelihatan tegas dalam memperjuangkan ABATA, kini layu tidak bertenaga,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan seharusnya konsisten meneruskan keputusan sebelum ini, agar tidak dilihat ‘flip flop’ dalam isu yang sensitif seperti ini.

“Kerajaan harus menepis gambaran umum bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan u-turn.

“Amat malang bila mana kerajaan tidak mempedulikan sensitiviti pejuang kemerdekaan khususnya anggota tentera dan rakyat terutamanya orang Melayu yang menderita di era kekejaman komunis,” ujarnya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Dalam pada itu beliau berkata, komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ adalah jarum halus DAP untuk mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu serta usaha untuk menormalisasi perjuangan komunis.

“Sebagai contoh, karikatur menggambarkan Ko Min Tang, Bintang 3 dan Komunis terlibat sama dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.

“Persoalannya, mengapakah DAP cuba mempopularkan kembali fahaman komunis di negara ini sehingga membuat rayuan ke mahkamah untuk membatalkan pengharaman komik propaganda tersebut, sedangkan rakyat Malaysia yang sememangnya cintakan keamanan dan menghargai nikmat kemerdekaan menolak fahaman komunis,” katanya.

Tambahnya, banyak laporan polis telah dibuat berkenaan komik ini oleh rakyat khususnya orang Melayu Islam bagi menolak tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan komik ini di sekolah-sekolah.

Pada tahun 2019, kerajaan ketika itu telah memberi perhatian serius terhadap isu ini dengan mengharamkan ini atas dasar menggugat sensitiviti majoriti rakyat Malaysia.

Semalam, menerusi satu laporan sebuah akhbar memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Pada 8 Disember 2022, Kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast