Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bercakap pada media berkenaan Program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2024

KUALA LUMPUR- Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap  dakwaan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor mengaitkan syarikat suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sedang dilengkapkan dan dijangkan siap dalam tempoh terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kes membabitkan suami kepada menteri terbabit masih berada dalam siasatan.

“Seperti mana saya sebut, kita melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik pada akan datang terutama isu tatakelola apabila membabitkan saudara mara dan sebagainya.

“Saya rasa dalam tempoh sebulan dua ini siaplah kertas siasatan itu nanti,” katanya secara ringkas kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas sedemikian selepas hadir merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di ibu negara hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis  DRT oleh kerajaan Selangor mengaitkan syarikat suaminya.

Menerusi hantaran di laman X, Hannah berkata, siasatan sudah bermula dan beliau mahu segala kebenaran dapat didedahkan selepas isu itu disiasat.

Menurut Hannah, beliau dan seluruh rakyat berhak untuk mendapatkan kebenaran dan bukti berhubung perkara itu yang turut membabitkan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang mana suaminya, M Ramachandran adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan.

Malah SPRM juga telah memulakan siasatan terhadap pemberian kontrak kepada syarikat yang dikaitkan dengan suami Hannah selepas menerima petunjuk baharu daripada beberapa aduan mengenai kes tersebut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast