KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu merakam kenyataan 50 saksi lagi bagi membantu siasatan kes pengurusan syarikat konsesi lebuh raya yang disyaki menerima rasuah lebih RM1.6 bilion membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai 11 orang, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terbabit ditahan membantu siasatan.
“Saya mendapat makluman daripada pegawai siasatan, kertas siasatan sedang giat disiapkan di mana setiap satu kertas siasatan memerlukan tambahan lima ke enam orang saksi lagi.
“Jadi kalau 11 kertas siasatan maksimum dalam 50 orang saksi yang perlu dipanggil memberi keterangan,” katanya selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di sini, hari ini.
Menurut Azam, suruhanjaya itu perlu mendapatkan banyak keterangan daripada pihak-pihak terbabit seperti kontraktor untuk siasatan itu.
Sementara itu, beliau memberitahu, kes kutipan levi sebanyak RM3.6 juta yang dikutip daripada majikan untuk program latihan HRD Corp. namun digunakan untuk melabur dalam pelbagai aktiviti masih berjalan.
“Banyak input lagi yang perlu kita dapatkan dalam kes ini daripada banyak pihak dan semua isu yang dibangkitkan dalam kes ini kita siasat tanpa tak ada yang kita tinggalkan.
“Saya juga telah meminta masa lagi yang mana pegawai-pegawai penyiasat saya memberitahu bahawa mereka perlukan sedikit masa lagi untuk siasat berkaitan pelaburan dan sebagainya,” ujarnya.
Menurut Azam, siasatan bukan sahaja berkaitan jenayah rasuah atau salah guna kuasa, sebaliknya ia melibatkan sistem dan prosedur yang perlu dikaji. – MalaysiaGazette