KUALA LUMPUR – Polis berjaya mematahkan kegiatan mencuri kabel di Taman Puncak Saujana di Kajang dekat sini selepas dua daripada mereka ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat pukul 6.39 pagi sebelum kenderaan peronda polis (MPV) digerakkan ke kawasan berkenaan.
“Setibanya di tempat kejadian, anggota MPV telah terserempak dengan kenderaan suspek iaitu sebuah lori dan kereta Proton Wira yang dinaiki kira-kira lima lelaki.
“Ketika diminta memberhentikan kenderaan mereka, suspek bertindak memecut laju dan dikejar oleh pasukan MPV sehingga lori terbabit berjaya ditahan di Jalan 2/9A Seksyen 2, Bandar Baru Bangi.
“Susulan itu, kita telah berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 18 dan 20 tahun manakala suspek lain dapat melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nazron, pihaknya juga telah merampas beberapa peralatan mencuri kabel selain dua gulung kabel hitam serta 48 wayar kabel bersama tiga bilah parang.
“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai empat rekod jenayah serta positif dadah jenis amphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
“Kedua-dua suspek kini direman tiga hari bermula semalam higga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan manakala suspek yang bebas sedang diburu,” ujarnya.
Jelas Nazron lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958. – MalaysiaGazette