KUALA LUMPUR – Seramai 6,954 graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) seluruh negara berjaya menamatkan pengajian masing-masing dengan cemerlang dan layak dianugerahkan diploma lanjutan, diploma dan sijil pada istiadat konvokesyen kali ke-27 tahun ini.
Majlis Istiadat Konvokesyen ILJTM dengan tema ‘Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakan Masa Hadapan’ turut disertai oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Ketika berucap, Steven teruja dengan kebolehpasaran lulusan ILJTM berada pada tahap 92.2 peratus pada 2023 sekali gus membuktikan keyakinan tinggi industri terhadap produk institusi itu.
Katanya, program-program dan kurus ditawarkan sangat relevan sehingga semua industri berkaitan sedia menggajikan para graduan yang tamat pengajian secara serta merta.
Sebanyak 147 kerjasama telah dimeterai dalam bentuk memorandum perjanjian, memorandum persefahaman, memorandum kerjasama dan nota kerjasama dengan pihak industri, institusi latihan serta agensi dan jabatan kerajaan.
“Ibu bapa pasti hairan dan teruja mengapa menteri begitu yakin anak-anak sudah dapat kerja walaupun baharu sahaja tamat pengajian. Sebenarnya ramai juga graduan yang telah mendapat pekerjaan sebelum tamat latihan,” ucapnya di di Bangi Avenue Convention Center di sini hari ini.
Dalam pada itu, Steven juga mahu lebih ramai siswazah menjadi duta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana akhirnya inilah antara yang akan menjadi masa depan ekonomi negara ini.
Beliau turut mengumumkan tiga ILJTM mencatatkan peratusan kebolehpasaran tertinggi iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil dengan 100 peratus, ILP Pasir Gudang (98.8 peratus) dan ILP Mersing (97.7 peratus).
Graduan yang diraikan terdiri daripada 32 kampus ILJTM di seluruh negara iaitu daripada Institusi Teknikal Jepun-Malaysia, lapan kampus Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan 23 kampus Institusi Latihan Perindustrian (ILP).
Graduan berkenaan termasuk program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di ILJTM dalam 10 bidang kluster TVET iaitu teknologi maklumat dan komunikasi, sivil, elektronik, kimpalan, pembuatan, percetakan, pengangkutan, pengeluaran produk, penyelenggaraan elektrik dan perkhidmatan kejuruteraan.
ILJTM telah berjaya mengeluarkan 232,096 graduan sepenuh masa dan mereka merupakan pekerja berkemahiran yang menyumbang kepada pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara sehingga hari ini. – MalaysiaGazette