Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai SKMM.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan SKMM, lazimnya melalui saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang MCMC atau platform media sosial SKMM.

SKMM juga tidak akan menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan, serta tidak meminta butiran dan maklumat peribadi individu.

“Bagi tempoh antara 1 Jan sehingga 31 Julai, sejumlah 3,201 aduan serta pertanyaan mengenai panggilan individu menyamar sebagai pegawai SKMM telah diterima. Jika maklumat yang diberikan pengadu mencukupi, kes akan dibawa ke Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

SKMM dalam kenyataan sama memaklumkan, sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan kes seorang pesara kerajaan yang kerugian sebanyak RM276,900 selepas dimaklumkan melalui panggilan telefon yang beliau terlibat dengan kegiatan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa diarahkan untuk melakukan transaksi melalui mesin juruwang automatik ke enam akaun bank berlainan antara 16 hingga 29 Julai.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan panggilan melibatkan pihak yang tidak dikenali. Sekatan ke atas nombor telefon mencurigakan atau menggunakan perisian dan aplikasi, bagi menyekat kemasukan panggilan atau sistem pesanan ringkas juga boleh dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Sebarang maklumat atau aduan sekiranya menerima panggilan mencurigakan, boleh dilaporkan kepada pihak PDRM atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta pelbagai bentuk jenayah yang lain. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast