Antara tetamu yang hadir pada Kempen Kemerdekaan ISMA 2024 ‘Jati Diri Merdeka Asas Negara’

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak kerajaan agar bertegas dengan prinsip dasar kebudayaan negara, iaitu budaya Melayu dan agama Islam sebagai tonggak identiti negara.

Presidennya, Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, ini kerana terdapat beberapa perkara yang mengancam jati diri kebangsaan melalui pencairan sistem, nilai dan identiti Melayu serta Islam.

Kataya, secara jelas tindakan itu diterjemahkan melalui idea Malaysia iaitu sebuah negara multikulturalisme yang bercanggah dengan identiti kebangsaan antaranya seperti penganjuran Festival Dutch Malakka yang mengangkat penjajah.

“ISMA menyakini identiti kebangsaan ini penting demi kesepaduan nasional tetapi ia mesti dicapai melalui dua aspek aitu hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan diterima oleh semua kaum sebagai asas kepada keamanan dan kestabilan negara.

“Aspek kedua adalah integrasi budaya Kebangsaan (Melayu-Islam) dalam identiti nasional Malaysia membantu mewujudkan kesepaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam sidang media pelancaran Kempen Kemerdekaan ISMA 2024, bertemakan ‘Jati Diri Merdeka Asas Negara Unggu’, di sini hari ini.

Presiden ISMA, Shuhaib Ar-Rumy Selamat

Tambahnya, sekiranya keadaan itu berterusan ia memberi implikasi pada identiti kebangsaan seperti perpecahan masyarakat yang melemahkan kestabilan politik sehingga akhirnya wujud jurang yang membuka ruang campur tangan asing.

“Selain itu, negara tidak mampu membuat keputusan yang mengukuhkan kedudukan ekonomi Melayu Islam bahkan melebihkan kepentingan elit kapitalis yang menjejaskan kemerdekaan ekonomi negara, warisan budaya yang hilang termasuk bahasa, adat, nilai-nilai tradisional yang menjadi asas identiti kebangsaan.

“Ia turut berlaku perbezaan jurang antara kaum dan agama yang menggugat kesepaduan sosial disebabkan tidak menghormati identiti kebangsaan serta penghakisan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian lantas melemahkan kedaulatan Islam dalam negara,” jelasnya.

Sehubungan itu, ISMA menyeru rakyat Malaysia untuk mempertahankan warisan budaya seperti bahasa, nilai agama, dan adat kerana ia menyatukan kaum serta bangsa di Malaysia.

Mengulas mengenai penganjuran Kempen Kemerdekaan ISMA 2024, katanya ia akan berlangsung bermula hari ini hingga 30 September yang digerakkan oleh 46 buah cawangan ISMA di seluruh Malaysia.

“Kita akan menampilkan aktiviti utama iaitu gerakan Tukar Nama Asal yang mengenal pasti tempat, bangunan atau jalan yang mengangkat nama penjajah atau mana-mana kumpulan yang tidak mencermin identiti kebangsaan.

“Pada 2018 kita pernah jalankan aktiviti ini dan antara tempat kita telah berjaya adalah di Bukit St Paul kepada Bukit Melaka dan ini dapat kerjasama daripada persatuan sejarah Melaka dan beberapa ahli lain termasuk sokongan dari masyarakat.

“Antara tempat yang telah dikenal pasti (tukar nama asal) akan datang adalah di Georgetown kepada nama asalnya Tanjung Penaga dan ada juga tempat lain tapi kita memerlukan beberapa usaha dan sokongan dari penduduk setempat untuk menjayakannya,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, sebaik usaha itu digerakkan kepada semua cawangan bersama pihak terlibat barulah penyerahan memorandum kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan.

Selain itu, ISMA juga menganjurkan siri ceramah, wacana dan sidang meja bulat bertemakan identiti kebangsaan, Hari Anak Muda (Harimau) yang akan mengumpulkan generasi muda yang komited berhubung perkara tema tersebut. – MalaysiaGazette .

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast