KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas dinasihatkan supaya menjadi manusia yang profesional dengan tidak sesuka hati membuat tuduhan susulan kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang membuat teguran itu berkata, Pas sepatutnya menerima kekalahan dengan hati terbuka kerana ia merupakan adat dalam sesuatu pertandingan.
Sambil menafikan dakwaan Pas bahawa Barisan Nasional (BN) menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada PRK DUN Nenggiri, Zambry berkata, ia tidak berlaku sama sekali.
“Itu biasalah, kalau depa (mereka) menang maka takkan sebut apa-apalah. Depa pun pernah jadi kerajaan…kita tidak menggunakan jentera-jentera kerajaan ini. Tapi, apa pun mereka akan beri alasanlah.
“Saya nak sebutkan kepada mereka mudah saja, sepertimana kita di dalam Barisan Nasional dan juga di dalam Kerajaan Perpaduan, apabila bila diumumkan kita kalah, kita terima dengan hati yang terbuka, kita tidak membuat kenyataan-kenyataan secara terbuka menuduh itu, menuduh ini, berlakunya penipuan itu berlakunya manilpulasi ini, bermain dengan isu-isu agama dan kaum, kita menerima.
“Itu adalah proses demokrasi. Jadi, saya nak beritahu kepada mereka juga benda yang sama supaya menjadi manusia yang profesional.
“Dalam setiap pilihan raya ada yang kalah ada yang menang…jadi, kali ini Barisan Nasional menang terimalah…janganlah buat tuduhan…kalau dalama bahasa mereka mudahlah, kalau dia menang tak apa, tapi kalau kita menang tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pmberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Masa Depan Muda Antarabangsa (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Terdahulu hari ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mendakwa kemenangan BN pada PRK Nenggiri semalam adalah disebabkan salah guna agensi kerajaan.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu mendakwa, beliau melihat sendiri suasana agensi-agensi kerajaan sepertimana Felcra, Kesedar di bawah Kerajaan Pusat digunakan tanpa segan dan malu oleh parti kerajaan.
Beliau turut mendakwa, PRK berkenaan adalah pertembungan antara jentera parti politik Perikatan Nasional (PN) yang berdepan dengan kerahan jentera dan agensi Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-