KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyifatkan tohmahan yang dilemparkan terhadap penguatkuasa dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini membabitkan peniaga di Gerai BOT, Taman Lembah Maju A, sebagai tidak berasas.
Ini kerana, tiada sebarang salah guna kuasa berlaku memandangkan pemantauan dilaksanakan ke atas semua peniaga.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan menjelaskan, apa yang berlaku adalah berpunca daripada provokasi oleh beberapa anak-anak peniaga gerai terbabit ketika penguat kuasa membuat semakan dan pemantauan di tapak gerai selepas MPAJ melaksanakan program gotong-royong sehari sebelumnya.
“Semasa semakan tersebut dijalankan, kakitangan MPAJ telah dimaki hamun dan dihalang untuk membuat pemeriksaan ditapak.
“Tindakan kompaun telah dikenakan kepada peniaga atas kesalahan menjalankan aktiviti
perniagaan tanpa lesen, selain peniaga berlesen turut dikompaun kerana menggajikan pekerja asing.
“Susulan provokasi itu MPAJ telah membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah pada jam 11.31 malam hari sama,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman di media sosial sejak Jumaat membabitkan seorang peniaga yang mendakwa, penguat kuasa MPAJ melakukan operasi penguatkuasaan ‘berat sebelah’ di beberapa premis makanan di kawasan tadbiran MPAJ.
Peniaga wanita terbabit turut mendakwa, berlaku amalan rasuah apabila individu dipanggil ‘Hisham’ menghubunginya meminta ‘duit kopi’ pada waktu malam.
Wanita itu turut mendakwa, terdapat peniaga lain yang beroperasi menggunakan lesen pihak ketiga namun, tidak diambil tindakan.
Video berdurasi dua minit 20 saat itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet yang tampil memberikan maklum balas berhubung dakwaan terbabit.
Menerusi ciapan di aplikasi X hari ini, Altimet berkata, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) negeri yang mana beliau merupakan ahli di dalam jawatankuasa itu.
“Operasi penguat kuasa mengeluarkan kompaun terhadap peniaga yang menggajikan warga asing dan semakan dakwaan yang mengatakan pemiliknya bukan warganegara juga tidak benar.
“Betul, kalau ada salah guna kuasa atau rasuah, tindakan kena diambil.
“Apa jadi sekalipun, jangan kasar mengasari. Ada dakwaan penguat kuasa disentuh dalam insiden ni. Ini perlu dibuktikan,” tulisnya di laman sosial itu. – MalaysiaGazette