Mohideen (empat dari kiri) menggesa kerajaan batalkan cadangan pembinaan loji WTE dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan membatalkan cadangan membina loji sisa kepada tenaga (waste-to-energy, WTE) dalam negara.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan bersama menyeru kerajaan beralih kepada sisa sifar (zero waste) kerana pembinaan loji WTE itu akan menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan kesihatan yang ketara kerana ia melepaskan bahan pencemar berbahaya seperti dioksin, furan, logam berat dan partikel halus.

Ia juga bercanggah dengan prinsip ekonomi kitaran dengan mengabaikan aktiviti kitar semula dan pengkomposan sambil menghasilkan abu berbahaya yang meningkatkan ketoksikan sisa.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan untuk membina 18 loji WTE dalam negara menjelang 2040 antaranya di Kedah, Johor, Pahang, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan.

“Selain itu, insinerator WTE tidak boleh dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui kerana ia bergantung kepada sisa yang tidak boleh diperbaharui yang menghalang usaha kitar semula dan pemuliharaan sumber.

“Ada yang mendakwa teknologi insinerator yang lebih baharu dengan jadual penyelenggaraan mantap mungkin kurang berbahaya namun penyakit akibat pendedahan kepada emisi insinerator cenderung untuk menjadi nyata hanya selepas bertahun-tahun pendedahan kumulatif.

“Jadi terlalu awal untuk membuat kesimpulan teknologi baharu ini meningkatkan keselamatan,” katanya hari ini.

Tambah beliau, bagi menangani cabaran pengurusan sisa dalam negara, kerajaan disyorkan melakukan pendekatan sisa sifar, yang menekankan kecekapan, pemulihan seta pemuliharaan sumber.

Katanya, strategi ini termasuk pengurangan sisa, pengkomposan, kitar semula, penggunaan semula, pengisian semula, pembaikan, dan perubahan dalam tabiat penggunaan.

“Menambah baik infrastruktur pengumpulan dan pengasingan sisa, menyokong amalan ekonomi kitaran, dan melaksanakan tanggungjawab pengeluar lanjutan (EPR) adalah langkah penting.

“Selain itu, melaksanakan program kitar semula sisa elektronik, sistem bayaran balik deposit, dan inisiatif penggunaan semula dan pengisian semula akan menyokong lagi pengurusan sisa yang mampan.

“Sebagai kesimpulan, CAP dan SAM menegaskan insinerator WTE adalah penyelesaian palsu kepada krisis sisa dan tenaga kita,“ katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohideen turut memaklumkan pihaknya bersama SAM telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian berkaitan berhubung bantahan pembinaan loji sisa kepada tenaga pada 14 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast